Dengan nama Allah yang maha penyayang..Allah sayang sekelian hambaNya..
"Husnul zhon..husnul zhon..husnul zhon..(bersangka baik). Sekali-sekala terngiang-ngiang pesanan guru. "Husnul Zhon". Bersangka baik. Perkataan yang sering di dengar. Ayat yang sering diucapkan. Namun, sejauh manakah kita dapat menghayatinya. Sejauh manakah kita dapat melaksanakannya. Dan adakah kita telah melakukan yang terbaik untuk melaksanakannya. Bersangka baik pada apa? Manusia? Binatang? JIn? Syaitan? Tidak dinafikan ramai yang mengamalkannya. Namun tidak ramai yang benar-benar memahaminya. Termasuklah diri saya. Astaghfirullah.
Bagi saya, bersangka baik bukanlah hanya kepada sesama manusia semata-mata. Tetapi kita hendaklah bersangka baik pada setiap apa yang terjadi disekeliling kita. Samada dari sifat-sifat manusia, perwatakkan binatang, kejadian yang terjadi, pendek kata, kita hendaklah bersangka baik setiap saat atau setiap nafas yang kita sedut dan hembuskan. Kerana setiap saat itu, Allah memberitahu kita sesuatu. Hanya dengan bersangka baik atau memandang setiap saat dengan baik kita dapat menghayati apa yang Allah cuba sampaikan. INi kerana bersangka baik membersihkan hati. Dan hati yang bersih mudah mendapat hidayah dariNya.
Namun, sejauh makanakah kita faham erti bersangka baik itu. Adakah dengan hanya bersangka baik sesama manusia sudah memadai? Bagaimanakah cara yang sebenar untuk kita mencapai husnul zhon yang sempurna?
Husnul Zhon( bersangka baik) hanya dapat dicapai dengan sempurna tatkala kita memandang setiap kejadian dengan sebaik-baik pandangan. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu kejadian itu tanpa sebab dan alasan. Setiap yang Allah jadikan adalah amat berguna buat hambaNya. Cuma HambaNya sahaja yang tidak menyedarinya. Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.
Anologi pertama:
Sedang kita berjalan-jalan di dalam bilik, tiba-tiba kepala kita terhantuk pada pintu bilik. Kita pun mengeluh atau mengerang kesakitan atau lebih teruk lagi kita memarahi pintu tersebut. Dan paling buruk lagi kita menendang atau pintu tersebut. Sedangkan jika dikaji dengan teliti, tiada salahnya pintu tersebut.
Tanpa kita sedari, ada maksud tersirat disebalik kejadian tersebut. Persoalannya, mengapakah Allah menjadikan kejadian itu pada kita pada waktu itu? Apakah yang Allah cuba sampaikan kepada kita? Cubalah pandang kejadian ini dengan sebaik-baik pandangan. Maka dapatlah kita ketahui:
1. Allah menghantukkan kepalaku ke pintu sebagai kifarah untuk mengurangkan dosaku. Ini kerana pada hari ini dosaku terlalu banyak. Oleh kerana Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang, Allah kurangkan sedikit dosaku agar aku tidak dibebani dosa yang banyak dihari pengadilan kelak. Alhamdulillah.
2. Allah menghantukan kepalaku pada waktu ini untuk memberitahu aku bahawa aku sedang lupa kepadaNya. Maka dengan hentakkan tersebut Allah memberi peringatan kepadaku agar ingat akanNya. Alhamdulillah.
3. Allah menghantukkan kepalaku kerana sebentar tadi aku ada memikirkan sesuatu yang tidak sepatutnya aku fikirkan seperti merancang membalas dendam, ingin memukul orang, hasad dengki, bersangka buruk pada kawan dan sebagainya. Maka dengan itu Allah menghantukkan kepalaku agar aku sedar dan berfikir semula apa yang aku fikirkan sebentar tadi.
Pada pandangan anda, adakah ianya hidayah?
Selebihnya, anda nilaikanlah dengan ilmu yang ada.
Anologi kedua
Ketika anda memandu dijalanraya. Anda menyaksikan satu pengalaman ngeri. Anda pun berhenti seketika untuk melihat dan mengetahui lebih lanjut apa yang terjadi. Maka setelah diteliti, kemalangan tersebut berpunca kerana pemandunya memandu di dalam keadaan mabuk. Mungkin ada yang berkata "kesian..". Atau ada juga yang berkata " Bodoh..dah tahu mabuk nak drive.." Atau ada yang berkata "padan muka..haha..mabuk lagi..kan dah kena..". Mungkin saya juga tergolong di antara orang yang berkata sedemikian. Astaghfirullah.
Namun begitu, sedarkah kita bahawa Allah sedang memberitahu kita sesuatu pada ketika itu. Cuma kita tidak sedar apa yang Allah cuba sampaikan. Akan tetapi, kiranya kita memandang kejadian tersebut dengan sebaik-baik pandangan, kita akan mengetahui apa yang Allah cuba sampaikan.
Bagi pemandu yang mabuk itu, siapalah kita untuk menghukum dan memcacinya. Kerana beliau telah pun mendapat hukuman yang Allah janjikan yang mana setiap dosa walaupun sebesar zarah tetap mendapat balasan dariNya. Jadi, Allah sudah pun menghukumnya. Apalah kuasa kita untuk menghukumnya lagi?
Kiranya kita memandang kejadian tersebut dengan sebaik-baik pandangan maka dapatlah kita ketahui:
1. Allah mahu memberitahu kita ini adalah salah satu sebab Dia mengharamkan arak bagi hambaNya.
2. Allah mahu memberitahu kita kiranya kita juga mabuk kita juga akan mendapat balasan seperti itu malah mungkin lebih dasyat dari apa yang kita lihat.
3. Allah mahu kita menyampaikan kejadian tersebut kepada yang lain terutama pada sahabat kita yang juga seorang pemabuk bahawa hukumanNya dan janjiNya adalah benar. Maka dengan itu Allah mahu kita menjadi saksi akan hukamanNya dan janjiNya.
4. Allah sedang mengajar kita agar kita mendidik orang lain terutama anak kita agar tidak mencontohi pemabuk tersebut.
Jadi, bukankah dalam masa yang sama Allah menurunkan ilmu kepada kita. Adakah ianya hidayah?
Selebihnya, anda fikirkanlah dengan ilmu yang ada.
Anologi ketiga.
Sedang kita duduk berehat dirumah, terlintas kelibat seekor lipas di depan kita. Di dalam keadaan ini, mungkin ada yang menjerit atau mungkin ada yang lari atau mungkin ada yang mencapai racun serangga atau lebih kritikal lagi mungkin ada yang mencapai sesuatu lalu membunuhnya. Tanpa kita sedar, Allah mahu memberitahu kita sesuatu pada waktu itu. Akan tetapi, apakah yang Allah cuba sampaikan?
Seperti yang kita ketahui, lipas amat gemar pada tempat-tempat yang kotor, lembap dan sebagainya. Pendek kata, lipas amat gemar kepada kekotoran. Itu adalah fitrahnya yang Allah ciptakan.
Jika diteliti dengan baik, apakah kesalahan yang dilakukan oleh lipas tersebut sehinggakan kita mencabut nyawanya. Sedangkan sebagai makhluk Allah, kita sama sekali tidak ada hak untuk mencabut nyawa makhluk yang lain. Kecuali kita berada di dalam keadaan terancam. Namun begitu, adakah kita yang berasa terancam atau makhluk lain yang berasa terancam?
Kiranya kita memandang kejadian tersebut dengan sebaik-baik pandangan, maka dapatlah kita huraikan:
1. Allah menjadikan lipas dengan fitrah gemar akan kekotoran. Ini bermaksud, rumah kita kotor. Dan rumah yang kotor adalah tempat tinggal syaitan. Dengan menjadikan lipas sebagai utusan.
2. Allah mahu memberitahu kita bahawa rumah kita kotor. Rumah yang kotor sukar dimasuki malaikat dan secara tidak langsung kurang mendapat keberkatan, rahmat dan rezeki dariNya. Jadi Allah ingin memberitahu kita bahawa rumah kita kotor dan perlu dibersihkan. Dengan menjadikan lipas sebagai utusan.
3. Allah mahu memberitahu kita rumah kita kotor dan banyak kuman serta jangkitan. Maka Allah mahu kita membersihkannya kerana kiranya ianya berpanjangan isi rumah akan terdedah kepada penyakit.
Oleh itu, kejamkah kita membunuh utusan? Sedangkan bukan pembunuhan yang patut kita lakukan akan tetapi terima kasih sebagai ucapan kepada penyampai iaitu lipas. Akan tetapi, lipas yang tidak diberi akal yang hanya menjalankan fitrahnya, menerima nasib yang kuran baik dari kita.
Adakah ianya hidayah atau sekadar kejadian yang sia-sia?
Selebihnya, anda fikirkanlah dengan ilmu yang ada.
Dengan anologi yang saya bentangkan, secara tidak langsung menyangkal bahawasanya Allah memilih orang-orang yang tertentu untuk diberikan hidayah dariNya. Allah maha adil. Tidak ada hambaNya yang tidak diberikan hidayah. Semua hambaNya diberikan hidayah pada setiap masa, setiap saat, setiap nafas. Akan tetapi kegelapan hati kerana dipenuhi dengan perasaan-perasaan amarah menutupi hidayah dariNya. Oleh itu, adakah Allah yang perlu dipersalahkan? Sedangkan diri kita sendiri yang menghalang hidayah disampaikan. Kiranya kita memandang setiap kejadian dengan sebaik-baik pandangan, kita akan dapat apa yang Allah cuba sampaikan.
Kedengaran amat mudah kan?
Namun, sejauh manakah yang mampu anda lakukan. Bukan mudah mengecap ketenangan dan ketqwaan kerana kita akan dihujani pelbagai-bagai ujian. Allah tidak akan membiarkan kita dengan mudah setelah kita mengaku diri kita beriman padaNya. Allah akan sentiasa menguji dari masa ke semasa. Hanya diri kita sahaja yang memutuskan ujian tersebut singkat ataupun berpanjangan.
Allah maha bijaksana dan maha mengetahui. Allah tidak akan menguji pada tahap hambaNya tidak mampu. Setiap ujian yang Allah berikan, kita tetap akan dapat melepasinya kerana Allah menghantar ujian pada tahap kemampuan hambaNya. Setiap ujian yang Allah beri, amat ringkas dan singkat. Namun diri kita sendiri yang menjadikannya lebih sukar dan berpanjangan. Insya Allah akan saya terangkan kiranya ada kelapangan kelak.
Begitulah serba sedikit contoh yang dapat saya berikan. Kiranya hendak dihuraikan, tidak terhingga dan tak mampu untuk saya tuliskan di sini. Apa yang saya harapkan, jadikanlah pedoman dan asas kepada apa yang saya bentangkan. Saya tidak mengatakan bahawa hujahan saya adalah yang terbaik. Hanya ini sahaja yang mampu saya bentangkan. Mungkin ada di antara sahabat-sahabat yang lain mempunyai hujahan yang lebih mendalam dari saya. Kiranya begitu, dapatlah dikongsi bersama.
Sesuatu yang remeh tidak semstinya tiada manfaat. Terpulang pada mereka-mereka yang mahu memikirkannya. Pandanglah setiap kejadian itu dengan sebaik-baik pandangan. Wallahu A'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan