Dengan nama Allah yang maha penyayang, Allah sayang sekelian hambaNya..
Di dalam zaman yang serba canggih ini, manusia lebih banyak didedahkan dengan kesesatan dari kebenaran.Lebih banyak kekeliruan dari kebenaran. Dan lebih banyak yang berpegang pada hukum diri dari hukum agama itu sendiri. Dengan alasan hukum yang Allah ciptakan buat umat Rasullullah tidak sesuai lagi diguna pakai untuk generasi zaman ini. Maka tercentuslah pelbagai ideologi yang sesat dalam senyap dengan alasan dan fatwa yang diberikan oleh beberapa ahli ilmuan islam yang lebih berbaur politik dari agama. Subhanallah..maaf..(pelik tapi benar)
Secara tidak langsung, umat sekarang tidak dapat menghayati islam yang sebenar kerana kekeliruan dan juga pendedahan yang singkat. Maka, jadilah mereka semua islam hanya pada nama dalam ertikata lain "islam pak turut". Islam kerana datang dari keluarga islam. Islam kerana keturunan islam. Islam kerana memiliki nama berunsur islam. Islam kerana mempelajari tentang islam yang disangkakan telah tinggi ilmunya dan telah banyak yang telah diketahuinya dari orang lain.
Namun, bila si engkar bertanya tentang islam, tidak ramai yang mampu menjawab dengan betul walaupun segala hadis dan dalil dikeluarkan. Ini kerana kegagalan dari segi penyampaian mengikut situasi dan tahap akal si engkar yang bertanya. Subhanallah..(termasuklah diri saya sendiri)
Suatu ketika dahulu, ketika itu saya bekerja sebagai juruteknik disebuah kilang yang terletak di Puchong, Selangor. Majikan saya berbangsa cina tetapi beragama kristian. Beliau adalah pengikut kristian yang kuat pegangannya hinggakan tiada satu pun majlis atau ceramah yang ditinggalkannnya walaupun di dalam kesibukkan kerjanya. Dalam masa yang sama, beliau juga cuba menyerap unsur ajaran kristian kepada semua pekerjanya termasuklah diri saya sendiri. Namun tiada siapa pun di antara ekerja di situ termakan ajarannya (majoriti melayu) walaupun pelbagai cara telah digunakan.
Dipendekkan cerita. Pada suatau hari, ketika saya sedang menjalankan tugas dibengkel, saya telah dihubungi oleh majikan saya. Beliau meminta saya agar datang ke sebuah gereja di petaling jaya dengan membawa sekali buku catatannya yang tertinggal. Tanpa rasa syak wasangka, saya pun pergi ke sana dengan membawa buku catatannya sekali.
Sesampainya saya di sana, saya pun menghubungi majikan saya untuk mengambil bukunya. Tetapi dia mengarahkan saya masuk terlebih dahulu kerana dia sedang sibuk mendengar ceramah yang sedang berlangsung. Tanpa perasaan syak wasangka, saya pun masuk ke dalam dewan ceramah. Ketika saya masuk ke dalam dewan tersebut, semua hadirin yang ada mmandang saya termasuklah penceramah tersebut. Keadaan menjadi sunyi buat beberapa saat. Penceramah tersebut menjemput saya duduk dihadapan sambil melemparkan senyuman manis terhadap saya.
Pada mulanya saya berasa serba salah. Namun, saya mengikut juga jemputan tesebut sebagai menghormati majlis dan orang-orang yang berada di situ. Sambil saya melangkah ke hadapan, saya terpandang majikan saya yang duduk dibarisan ke dua melemparkan senyuman kepada saya. Saya pun turut mendengar ceramah tersebut. Tidak perlu rasanya saya membentangkan isi ceramah tersebut di sini.
Setelah hampir dua jam, ceramah tersebut pun tamat. Semasa mereka bersalaman antara satu sama lain, saya melihat majikan saya berbisik kepada penceramah sambil memandang ke arah saya. Tidak pasti apa yang diperbisikkannya. Penceramah itu mendengar sambil tersenyum dan sekali sekali beliau menganggukkan kepalanya.
Setelah melihat para hadirin semakin berkurangan, saya pun menghampiri majikan saya untuk menyerahkan buku catatannya dan meminta diri untuk beredar dengan alasan ada kerja yang perlu saya uruskandengan segera. Namun majikan saya menghalang saya dengan alasan penceramah mahu berjumpa dan berbual dengan saya. Majikan saya meminta saya berjumpa dengan penceramah tersebut dan tidak perlu bimbang dengan kerja yang ada. Saya merasakan sesuatu namun saya tidak menolak ajakan tersebut. Ini kerana saya mahu melihat sejauh mana permainan majika saya.
Saya pun berjumpa dengan penceramah tersebut. Sementara itu majikan saya meminta diri untuk beredar. Sebelum beredar beliau sempat menepuk bahu saya sambil melemparkan senyuman. Saya hanya tersenyum. Di dalam masa yang sama saya berdoa agar Allah memelihara dan memberkati saya.
Seperti yag saya jangkakan, penceramah tersebut mengajak saya masuk agamanya dengan mengeluarkan hujah-hujah dan menunjukkan perbezaan antara islam dan kristian. Tetapi saya hanya mendengar dan menjawab dengan senyuman dan tiada perasaan marah atau kecewa. Saya tidak mahu memalukan islam pada waktu itu. Dari perbualan biasa, sedikit demi sedikit menjadi debat. Ini kerana penceramah tersebut merendah-rendahkan hukum islam dan ajaran Rasulullah. Beliau mengatakan islam terlalu berahsia dan tidak sesuai dengan umat zaman sekarang.
Maka, terjadilah debat di antara saya dengan penceramah tersebut. Tetapi kami berdebat di dalam keadaan aman dan masing-masing mengawal amarah. Terlalu banyak debat yang terjadi pada waktu itu. Alhamdulillah, Allah permudahkan saya pada waktu itu. Salah satu soalan yang dikemukan oleh penceramah tersebut ialah "Bukti Allah itu Satu (esa/tunggal/unggul)"
Mujurlah setiap ajaran guru masih kuat di dalam ingatan saya. Namun, saya terfikir, adakah semua orang yang mengaku islam mampu membuktikan Allah itu satu. Di sini saya ingin berkongsi kepada pembaca yang mulia. Saya tidak mengatakan ini adalah jawapan yang terbaik. Saya hanya menyampaikan apa yang telah didampaikan oleh guru saya. Kiranya ada di antara pembaca yang memiliki jawapan yang lebih baik, maka saya mengharap dapatlah dikongsi bersama-sama dengan yang lain.
Bukti Allah itu satu bukan dua dan bukan juga tiga apatah lagi banyak telah banyak diterangkan di dalam hadis-hadis dan ayat-ayat Alquran. Namun, tidak semua orang yang bukan islam dapat menerima dalil-dalil tersebut kerana mereka tidak mempercayai Al-quran dan hadis. Kebanyakkan dari mereka lebih cenderung dengan dalil naqli atau logik akal. Di sini saya bentangkan beberapa bukti Allah itu satu dari segi dalil akal atau logik akal.
1. Bukti Allah itu satu.
Lihatlah pada pokok ini. Apa yang anda dapat huraikan?
Jika dipandang tiada apa yang menarik. Hanyalah sebuah pokok yang besar. Namun, bila difikirkan sedalam-dalamnya..
Allah menjadikan pokok tersebut hanyalah satu di dunia ini. Ke mana sahaja anda pergi, anda tidak akan dapat melihat pokok-pokok yang lain yang sama dengan pokok yang anda lihat sekarang. Semuanya berbeza. Walaupun ianya dari baka yang sama, ditanam pada hari yang sama, dijaga dengan cara yang sama. Namun ia tetap berbeza dari segi bilangan akar, bilangan daun, bilangan dahan, bilangan ranting. Kesimpulannya, anda tidak akan jumpa pokok yang sama dengan pokok yang anda lihat sekarang. Pokok berbentuk begitu Allah jadikan hanya satu di dunia ini. Tidak ada pokok yang sama yang sebelumnya dan selepas pokok ini mati anda tidak akan jumpa yng sama selepasnya. Pokok itu adalah yang awal Allah ciptakan dan yang akhir Allah ciptakan, tidak ada sebelumnya dan tidak ada selepasnya. Ini juga membuktikan Allah itu awal dan Allah itu akhir. (akan diperjelaskan sebentar lagi)
2. Bukti Allah itu satu.
Lihatlah pada diri kita sendiri. Apakah yang anda dapat buktikan dengankewujudan anda dengan bukti Allah itu satu. Jika difikirkan sedalam-dalamnya..
Allah menjadikan kita di dunia ini hanyalah satu. Tidak ada manusia yang sama dengan kita di dunia ini. Walaupun kita dilahirkan kembar seiras, tetap berbeza. Dengan perbezaan tersebut orang lain dapat mengenali yang mana abang dan yang mana adik, yng mana kakak dan yanag mana adik. Oleh itu, di manakah terletak persamaannya? Semuanya berbeza dari sekecil zarah hinggalah sebesar-besar anggota. Cap jari juga telah menunjukkan perbezaanya. Di manakah persamaannya.
Allah menjadikan diri kita hanya satu di dunia ini. Anda tidak akan jumpa manusia lain yang sama dengan anda di dalam dunia ini. Tidak ada manusia yang sama dengan anda sebelum anda dilahirkan. dan tidak ada manusia yang sama dengan ada selepas anda mati. Andalah manusia yang awal Allah jadikan di dunia ini dn anda jualah manusia yang terakhir yang Allah jadikan. Selepas anda mati, tiada manusia yang akan dilahirkan sama dengan anda. Buktinya yang paling mudah, tidak pernah orang menjumpai cap jari anda digunakan atau sama dengan individu lain. Selepas anda mati. Anda adalah yang awal dan anda juga yang terakhir Allah ciptakan. Sekaligus membuktikan "Huwal awalu wal akhiru" Dialh yang awal dan Dialah yang akhir"(Wallahu a'lam).
3. Bukti Allah itu satu.
Begitu juga dengan binatang. Apakah yang anda dapat lihat dan buktikan?
Dengan hujah-hujah dan huraian-huraian yang saya bentangkan, rasanya anda dapat fikirkan dan membentangkannya dengan cara anda sendiri. Ianya tetap sama dengan ciptaan-ciptaanNya yang lain. Tetap satu dan tiada duanya. Begitu juga dengan ciptaan-ciptaanNya yang lain. Tetap Allah jadikan satu dan tiada duanya. hanya ciptaan dari manusia sahaja yang dapat menyamai dengan yang lain. Ini bukanlah kebolehan atau kepandaian manusia yang membatasi Allah. Allah menjadikan manusia, masakan manusia mampu membatasiNya. Apa sahaja yang dimiliki oleh umat manusia hanyalah dari Allah semata-mata.
Terlalu banyak bukti-bukti yang mampu dibentangkan. Namun, cukuplah yang ada di sini sebagai pedoman. Ilmu Allah itu sangat luas. Kiranya dikaji "luas" itu, maka kita hanyalah makhluk yang kerdil dah lemah. Namun dari masa ke semasa, Allah sentiasa mengajar hambaNya sama ada secara terang mahupun secara halus. Hanya dengan ilmu dan pandangan yang baik sahaja (husnul zhon) pada setiap kejadian, ciptaanNya yang mampu memikirkannya.
Pandanglah setiap kejadian dengan sebaik-baik pandangan. Berfikir dengan ilmu, jangan berfikir dengan nafsu. Memandang satu kepada yang banyak dan memandang yang banyak kepada yang satu.
Akhir kata, maaf kiranya ada yang tersinggung dan ada yang tidak menepati dengan citarasa diri. Ini kerana saya hanyalah mnusia yang tidak tinggi ilmunya dan masih mencari dan mempelajari. Wallahu A'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan